الحمد لله رب العالمين والصلاة والسلام على اشرف االأنبياء والمرسلين, وعلى اله وصحبه اجمعين
Keistimewaan Sayyidah Khadijah diantaranya ialah , beliau yang meminta Baginda S.A.W menikahinya. Beliau adalah perempuan yang pertama dinikahi oleh Rasulullah S.A.W. Baginda tidak berkahwin dengan perempuan lain sehingga wafatnya Sayyidah Khadijah setelah Nabi melihat kebaikan yang dimiliki oleh beliau.
Sayyidah Khadijah adalah merupakan orang yang pertama beriman dengan Nabi Muhammad S.A.W baik dari kalangan lelaki atau perempuan. Allah telah meringankan bebanan Rasulullah dengan keimanan Sayyidina Khadijah dan memberikan jalan keluar dari setiap kesusahan, kesulitan dan kemelut dalam dakwah Baginda.
Pintu rumah beliau tidak akan pernah tertutup apabila seseorang ingin meminta hajat, pertolongan dan sebagainya tetapi mereka akan pulang dari rumah Sayyidina Khadijah dengan membawa sesuatu (hadiah) yang diberikan oleh beliau.
Apabila isteri Rasulullah S.A.W melakukan dosa walaupun mereka tidak pernah melakukan dosa , dosanya akan digandakan dua kali ganda daripada perempuan yang tidak dinikahi oleh Rasulullah S.A.W dan apabila mereka melakukan sesuatu kebaikan akan digandakan dua kali ganda daripada kebaikan tersebut.
Sayyidina Khadijah mengorbankan segala hartanya demi untuk menyebarkan ajaran yang disampaikan oleh suaminya yang tercinta iaitu islam. Ketika Bani Hasyim dan Bani Abdul Muthalib dikepung oleh kaum Quraish, mereka kehabisan bekalan makanan, Sayyidina Khadijah sanggup memakan rumput kering bersama kaum Bani Hasyim dan kaum Bani Abdul Muthalib ketika beliau berusia dalam lingkungan 60 tahun sehingga pecah bibir beliau.
Sayyidina Khadijah adalah semulia- mulia isteri Rasululllah S.A.W, seperti yang diriwayatkan di dalam hadith daripada Sayyid al Anam . Baginda bersabda:
سيدة نساء العالمين مريم ثم فاطمة ثم خديجة ثم اسية امرأة فرعون
Maksudnya:
Penghulu kaum wanita sekalian alam ialah Mariam, kemudian Fatimah, kemudian Khadijah, kemudian Asiah isteri Fir’aun.
Nabi S.A.W bersabda lagi:
خير نساءها مريم, وخير نساءها خديجة
Maksudnya:
Sebaik- baik wanita (pada masanya) ialah Maryam, dan sebaik- baik wanita (umat ini) ialah Khadijah.
Oleh,
Nurul Afrina Bt Abd Rahman,
Panel Bahasa Melayu,
Usrah STIAS.